KUALA LUMPUR – Jualan Oriental Kopi Holdings Bhd kekal berdaya tahan dan tidak terjejas secara material meskipun berdepan gesaan boikot susulan ketiadaan terjemahan Bahasa Melayu dalam menunya baru-baru ini, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Media melaporkan HLIB memaklumkan jumlah kunjungan pelanggan ke cawangan Oriental Kopi tidak menunjukkan perubahan ketara selepas perbincangan diadakan bersama pihak pengurusan syarikat pada 21 Oktober lalu.
Sebagai langkah proaktif, Oriental Kopi sedang membuat persiapan untuk memperkenalkan menu dalam tiga bahasa melibatkan pencetakan semula 2,000 buku menu dengan anggaran kos RM150,000, iaitu sekitar 0.2 peratus daripada unjuran keuntungan teras HLIB bagi tahun kewangan berakhir Jun 2026.
Kontroversi itu tercetus pada awal bulan ini selepas seorang pengguna media sosial membangkitkan ketiadaan terjemahan bahasa Melayu dalam menu Oriental Kopi sebagai respons kepada hantaran media sosial patriotik kumpulan itu, ‘Maka Kami’.
Namun, syarikat berkenaan tampil menjelaskan bahawa pihaknya sejak dahulu menyediakan menu berasingan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina, selain memaklumkan tanggapan menu bahasa Cina telah ditarik balik berpunca daripada salah faham.
Sementara itu, HLIB menjangkakan Oriental Kopi mencatat keuntungan teras selepas Cukai (PAT) sebanyak RM67 juta bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh kestabilan harga bahan mentah dan jangkaan penurunan kadar cukai efektif daripada 30.6 peratus pada suku ketiga serta ketiadaan perbelanjaan luar biasa sekali sahaja pada suku semasa.
Oriental Kopi kekal yakin dapat mencapai sasaran pendapatan setahun penuhnya.
HLIB turut menjangkakan kesan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, yang berkuat kuasa pada Jun 2027, masih dapat diuruskan.
Selain itu, Oriental Kopi turut mengekalkan sasaran pembukaan 10 cawangan baharu setahun mulai tahun kewangan 2027.
Kumpulan itu merancang membuka cawangan di Aman Central, Merdeka 118, KL Midtown, Sutera Mall, dan Genting dalam tempoh dua bulan akan datang.
Di samping itu, pelan pengembangan pasaran antarabangsa dilaporkan mendahului jadual dengan pembukaan cawangan pertama di Jakarta disasarkan pada suku keempat 2026, diikuti Mauritius pada separuh pertama 2027 serta eksport produk barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) ke China yang bermula September lalu.
HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Oriental Kopi dengan harga sasaran RM1.17 dan menyifatkan penurunan harga saham baru-baru ini sebagai peluang berharga untuk pelabur memasuki pasaran.-MalayaDailyToday





















































