LONDON – Dua lelaki maut akibat dihempap pokok tumbang ketika Ribut Boelo terus membadai United Kingdom (UK), sekali gus mengakibatkan lebih 160,000 premis terputus bekalan elektrik setakat petang semalam.
Media antarabangsa melaporkan mangsa pertama merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang disahkan meninggal dunia selepas kereta dipandunya di Finchley, utara London, dihempap sebatang pokok yang tumbang.
Insiden itu berlaku beberapa jam selepas seorang lelaki berusia 60 tahun dilaporkan maut dalam kejadian sama di Dumfries and Galloway, Scotland.
Polis Metropolitan berkata, mereka menerima laporan mengenai pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan yang sedang bergerak di Dollis Road, Finchley, kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
Ketua Inspektor Guy Ellwood menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi besar dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.
Perkhidmatan Ambulans London memaklumkan pasukan tindak balas kecemasan, paramedik serta pasukan ambulans udara London dikerahkan ke lokasi kejadian.
Polis Scotland turut mengesahkan seorang lelaki turut maut selepas dihempap pokok tumbang berhampiran Castle Douglas di selatan Scotland.
Sementara itu, Persatuan Rangkaian Tenaga (ENA) mengesahkan sebanyak 161,400 premis masih terputus bekalan elektrik setakat pukul 3 petang waktu tempatan.
Keadaan cuaca yang berbahaya turut menjejaskan usaha pemulihan bekalan apabila jurutera rangkaian menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.
Menurut ENA, gabungan Ribut Boelo dan Ribut Austen yang melanda UK sejak Jumaat lalu menyebabkan 838,700 premis mengalami gangguan bekalan elektrik.
Kelajuan angin paling tinggi direkodkan di Machrihanish, Argyll and Bute, mencecah 137 kilometer sejam (85 batu sejam), manakala Stornoway di Outer Hebrides serta Capel Curig di utara Wales merekodkan kelajuan sehingga 135 kilometer sejam (84 batu sejam).
Amaran cuaca tahap jingga bagi angin kencang yang dikeluarkan Pejabat Meteorologi UK (Met Office) meliputi seluruh Scotland dan sebahagian utara England sehingga pukul 9 malam Ahad.
Amaran cuaca tahap kuning turut dikeluarkan melibatkan beberapa bandar utama termasuk Liverpool, Manchester, Leeds, Sheffield dan Newcastle, selain kawasan East Midlands, West Midlands serta utara Wales.
Met Office menasihatkan orang ramai supaya berada di dalam bangunan sebanyak mungkin dan mengelakkan berjalan atau berlindung berhampiran bangunan serta pokok.-MalayaDailyToday





















































