SEREMBAN – Suami kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut di Kompleks Perumahan Penjawat Awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Oktober lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya.
Media melaporkan Mohd Khairudin Safi’ai, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohd Khairudin didakwa membunuh Norhazwani Ibrahim, 35, di kediaman mereka kira-kira pukul 7 malam pada 15 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, sekiranya sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sarip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 22 Disember depan sebagai sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat.-MalayaDailyToday





















































