KUALA KURAU – Kesemua 19 kru kapal korek pasir MV Vivo Arya terselamat selepas kapal berkenaan dilaporkan tenggelam pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam, di sini, semalam.
Media melaporkan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.53 pagi, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada pukul 6.30 pagi.
Menurut beliau, operasi itu melibatkan aset APMM, iaitu KM GAGAH dan Bot PERKASA 1238 dengan bantuan komuniti maritim di sekitar kawasan kejadian.
“Sembilan kru berjaya diselamatkan oleh kapal korek pasir MV YAODE 1 yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Manakala sembilan lagi kru di dalam rakit penyelamat berjaya diselamatkan oleh MV VIVO DIYA,” katanya menerusi kenyataan.
Zainudin berkata, kesemua 18 kru berkenaan dibawa ke Jeti Batu Maung untuk tindakan selanjutnya, manakala seorang lagi kru warga China yang dilaporkan hilang, Tang Jifu, 57, berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh Bot PERKASA 1238.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum dihantar ke hospital berhampiran bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Beliau berkata, operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada pukul 4.30 petang.
“APMM mengingatkan semua komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut, termasuk memastikan jaket keselamatan dipakai dengan betul serta peralatan keselamatan dalam keadaan baik.
“Persediaan awal seperti ini amat penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa apabila berlaku kecemasan,” katanya.
Tambahnya, sebarang laporan, aduan atau kecemasan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerusi talian 011-3525 9919 bagi membolehkan tindakan segera diambil.-MalayaDailyToday





















































