KAHERAH: Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) memaklumkan pihak berkuasa telah menghantar menghantar lebih 280 lori membawa tepung dan bakul makanan bagi membantu mengurangkan masalah kekurangan roti yang teruk di Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Xinhua.
Lebih 90 lori berlepas semalam selepas lebih 190 trak yang dihantar sepanjang minggu lepas.
Menurut ERC, bekalan berkenaan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Bantuan Mesir di Gaza untuk diagihkan kepada kedai-kedai roti yang terjejas operasinya.
ERC menambah konvoi bantuan berlepas ke Gaza awal semalam dengan membawa lebih 3,676 tan bekalan kemanusiaan, termasuk tepung, bakul makanan, barangan bantuan, ubat-ubatan dan bahan api untuk hospital, kedai roti serta kemudahan penting lain.
Ia merupakan konvoi ke-302 dari Mesir ke Gaza sejak ERC melancarkan inisiatif bantuan kemanusiaan pro-Gaza pada akhir Julai 2025.
ERC memaklumkan pihaknya mengekalkan penglibatan secara meluas sejak krisis bermula, membantu mengagihkan lebih 1 juta tan bantuan kemanusiaan menerusi perkhidmatan lebih 75,000 sukarelawan.
Semalam, pihak berkuasa kesihatan Gaza memaklumkan dalam kemas kini harian terkini bahawa empat kematian baharu dan 14 kecederaan direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban sejak gencatan senjata Israel-Hamas berkuat kuasa pada Oktober 2025 meningkat kepada 1,551 kematian dan 5,573 cedera.
Jumlah keseluruhan kematian penduduk Palestin sejak konflik tercetus pada 7 Okt 2023 meningkat kepada 74,544 orang dengan 175,692 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan.-MalayaDailyToday



















































