KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikutan keputusan sebulat suara yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu, malam tadi.
Media melaporkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 15 Perlembagaan PN yang memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana anggota yang melakukan tindakan bertentangan dengan kepentingan gabungan berkenaan.
Beliau berkata, tindakan yang boleh diambil termasuk memberi amaran, menggantung atau memecat parti anggota terbabit.
Katanya, PN akan mengambil langkah sewajarnya menerusi prosiding tatatertib, termasuk menyediakan pertuduhan untuk diserahkan kepada Bersatu.
“Pertuduhan-pertuduhan yang akan dibuat akan didraf oleh PN kepada pihak parti anggota ini, iaitu Bersatu, dan mereka sudah tentu akan diberikan masa, tempoh masa yang mencukupi untuk menjawab,” katanya.
Dilaporkan, mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi dipengerusikan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebelum ini, Takiyuddin mengesahkan PN kekal sebagai gabungan politik yang boleh beroperasi seperti biasa susulan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pelaksanaan penggantungan dan pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Katanya, perintah mahkamah bertarikh 22 Oktober lalu masih berkuat kuasa meskipun RoS dan Menteri Dalam Negeri telah memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Jelas beliau, pemfailan notis rayuan tidak secara automatik menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi, sekali gus membolehkan PN meneruskan urusan termasuk mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertingginya semalam.-MalayaDailyToday



















































