KULAI – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan sebanyak 275,785 MyKad generasi baharu di seluruh negara sejak dilancarkan pada 17 September lalu.
Media melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, negeri Johor mencatatkan jumlah pengeluaran tertinggi setakat 20 Oktober lalu, iaitu sebanyak 31,392 kad.
Selain Johor, katanya, Kuala Lumpur turut merekodkan pengeluaran MyKad generasi baharu sebanyak 29,601 diikuti Selangor (26,736), Sarawak (25,642) dan Sabah (22,523).
Jelas beliau, jumlah itu menunjukkan sambutan baik daripada masyarakat terhadap penggunaan MyKad generasi baharu yang dilengkapi dengan ciri keselamatan lebih canggih.
Saifuddin berkata, MyKad generasi baharu mempunyai 53 ciri keselamatan berbanding 23 pada kad terdahulu termasuk tingkap lutsinar kod QR, ciri ultraungu, hologram dan mikroteks.
Katanya, penambahbaikan itu bagi memastikan ciri keselamatan kad pengenalan terus relevan dengan perkembangan teknologi selepas penggunaan MyKad generasi terdahulu selama kira-kira 12 tahun.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, ketika ini kira-kira 24 juta MyKad berada dalam edaran, manakala JPN menerima purata 200,000 permohonan sebulan bagi pelbagai urusan.
“Permohonan itu merangkumi pengeluaran kad pengenalan baharu, penggantian kad rosak serta permohonan MyKad bagi individu yang mencapai umur 18 tahun.
“Jumlah permohonan itu konsisten, iaitu kira-kira 200,000 sebulan atau 2.4 juta setahun.
“Kita tidak mempunyai unjuran khusus bagi tempoh pertukaran kepada MyKad generasi baharu. Kita akan meneruskan proses seperti biasa dan memastikan bekalan kad mencukupi untuk memenuhi permintaan orang ramai,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, pemilikan MyKad semakin penting berikutan pelbagai inisiatif kerajaan memerlukan penggunaannya termasuk pembelian bahan api, minyak masak dan penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).-MalayaDailyToday




















































