KOTA KINABALU – Seorang lelaki yang menjadi buruan polis sejak 17 tahun lalu selepas dikaitkan dengan kes pembunuhan di Beverly Hills, Penampang, akhirnya ditahan dalam satu serbuan di Kolombong, di sini kelmarin.
Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sebuah kediaman di Kolombong, Inanam, Kota Kinabalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz, berkata, penahanan suspek hasil usaha pengesanan dan siasatan berterusan pihak polis.
Katanya, lelaki terbabit merupakan individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang berlaku pada 11 April 2009 di Beverly Hills, Penampang.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
“Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah turut berdepan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya.
Arisanti berkata, tangkapan itu membuktikan komitmen dan kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah termasuk menyelesaikan kes yang berlaku sejak sekian lama.
“Polis akan terus berusaha mengesan individu yang disyaki terbabit dalam jenayah serius bagi memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan,” katanya.-MalayaDailyToday























































