MELBOURNE – Ahli Parlimen Australia, Helen Haines berada dalam keadaan kritikal selepas dirempuh sebuah kenderaan di luar pejabat kawasannya petang semalam dalam kejadian yang disiasat sebagai kemungkinan serangan disengajakan.
Media antarabangsa melaporkan Haines, 65, mengalami kecederaan parah selepas dirempuh sebuah Toyota LandCruiser berwarna putih pada pukul 3.35 petang di luar pejabatnya di Murphy Street, Wangaratta.
Haines pada mulanya dibawa ke sebuah hospital di Wangaratta sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Melbourne untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Polis mengesahkan seorang lelaki berusia 43 tahun dari Tarrawingee berjaya ditahan di lokasi kejadian dengan bantuan orang awam, manakala sebilah pisau turut ditemui di dalam kenderaan terbabit.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, unit antikeganasan telah dikerahkan bagi membantu siasatan dan menyifatkan insiden itu mengandungi unsur tindakan disengajakan.
“Ini bukan kemalangan. Berdasarkan apa yang kelihatan, terdapat tindakan yang disengajakan,” katanya dalam satu program temu bual terbitan penyiar tempatan ABC.
Polis Victoria memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi menentukan motif sebenar serta sama ada suspek dan Haines saling mengenali, namun mengesahkan tiada ancaman berterusan terhadap awam.
Seorang saksi memberitahu stesen ABC bahawa dia terdengar bunyi dentuman sebelum melihat seorang wanita tersepit di antara dua kenderaan.
Insiden berkenaan turut mencetuskan kecaman daripada pelbagai pemimpin politik merentasi parti, termasuk Ketua Pembangkang Angus Taylor serta pemimpin Parti Greens dan One Nation yang mengutuk sebarang bentuk keganasan ke atas wakil rakyat.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Tony Burke memaklumkan laporan mengenai tingkah laku berbentuk ancaman dan gangguan terhadap ahli politik di Australia meningkat daripada 951 kepada 1,067 kes sepanjang tahun lalu.
Laporan Parlimen Australia tahun lalu memberi amaran bahawa ancaman serta serangan fizikal telah meningkat dengan ketara sepanjang sedekad lalu.
Penilaian ancaman oleh Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) tahun lalu turut memberi amaran bahawa risiko keganasan bermotifkan politik telah berada pada tahap membimbangkan.
Dilaporkan, Haines pernah berkhidmat dalam bidang kejururawatan dan perbidanan serta sebagai ahli akademik, sebelum dipilih sebagai ahli Parlimen bebas bagi kawasan Indi pada 2019.
Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya 2022 dan 2025.-MalayaDailyToday






















































