PARIS – Pihak berkuasa Perancis mengenakan perintah berkurung pada waktu malam di beberapa kawasan di Paris serta bandar utama lain berikutan gelombang rusuhan dan kegiatan merompak berterusan yang tercetus di seluruh negara sejak beberapa minggu lalu.
Media antarabangsa melaporkan perintah berkurung di beberapa bahagian pusat Paris berkuat kuasa dari pukul 11 malam hingga 6 pagi waktu tempatan.
Sekatan berasingan turut dilaksanakan di bandar Nice, dengan Datuk Bandar kawasan itu mengenakan perintah berkurung khusus terhadap golongan belia.
Sekatan tambahan juga dilaksanakan di Lyon serta beberapa bandar di utara Perancis termasuk Lille.
Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa tempatan untuk melaksana perintah berkurung selepas siri kekacauan melonjak sepanjang hujung minggu lalu.
“Kami tidak akan dipengaruhi atau diperintah oleh perosak, pencuri dan samseng,” kata Lecornu dalam kenyataan yang menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan tindakan jenayah.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 2,000 perniagaan dipercayai terjejas akibat rusuhan yang melanda beberapa bandar di negara itu.
Pada Ahad sahaja, polis menahan lebih 350 individu di Paris selepas sekurang-kurangnya lima premis perniagaan dirompak, menyusuli gelombang protes besar-besaran yang menyaksikan lebih 500,000 orang turun ke jalanan Sabtu lalu.
Ketegangan yang bermula bulan lalu berpunca daripada demonstrasi pelajar mengenai fasiliti sekolah kini meruncing menjadi protes sosial dan ekonomi yang lebih luas menjelang pilihan raya presiden Perancis.
Kerajaan Perancis memperketat kawalan keselamatan dan menempatkan anggota kawalan tambahan di semua pusat bandar utama bagi memulihkan ketenteraman awam dan mengelakkan kemusnahan berlanjutan.-MalayaDailyToday























































