MILAN – Beberapa butik jenama mewah antarabangsa di pusat bandar Milan bertindak menutup seluruh premis perniagaan mereka ekoran kebimbangan berlakunya gelombang rusuhan dan vandalisme susulan insiden rompakan pada hujung minggu lalu.
Media antarabangsa melaporkan butik jenama mewah terkemuka termasuk Chanel, Hermes, dan Pomellato memilih untuk tidak beroperasi dan menurunkan penghadang pintu di daerah Quadrilatero della Moda, manakala kawalan ketat polis dipertingkatkan di sekitar lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa premis perniagaan dilaporkan masih beroperasi, sementara pihak berkuasa mengadakan perbincangan bersama para peniaga berhubung langkah keselamatan yang perlu diambil.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali, Antonio Tajani menyuarakan solidariti penuh kepada pasukan penguat kuasa, peniaga, serta penduduk yang terjejas akibat vandalism dan serangan jenayah.
“Kami sekali lagi menyatakan solidariti kepada pasukan penguat kuasa undang-undang, para peniaga dan semua rakyat yang berdepan gelombang vandalisme serta serangan jenayah oleh kumpulan pembuat kacau.
“Banyak premis perniagaan di Milan terpaksa menutup penghadang pintu mereka,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Tajani menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang yang lebih tegas bagi membanteras serangan menyasarkan negara termasuk mengetatkan peruntukan hukuman ke atas golongan bawah umur yang terlibat dalam keganasan.
Pada hujung minggu lalu, beberapa butik mewah antarabangsa di Milan mengalami kerosakan dan kerugian besar selepas sekumpulan perusuh bertopeng menceroboh serta melarikan barangan berharga dalam kekacauan yang tercetus ketika protes.
Insiden itu berlaku di kawasan beli-belah terkenal sekitar Piazza del Duomo dan Galleria Vittorio Emanuele II, yang menjadi tumpuan pelancong serta peminat fesyen mewah.
kumpulan bertopeng terbabit dipercayai mengambil kesempatan daripada demonstrasi aman yang diadakan bagi membantah peningkatan kos sara hidup sebelum bertindak merosakkan premis perniagaan.
Mereka dilaporkan memecahkan cermin pameran sebelum memasuki butik dan melarikan pelbagai barangan, termasuk pakaian berjenama, kasut serta beg tangan mewah.
Antara premis yang menjadi sasaran utama termasuk butik Nike di Corso Vittorio Emanuele, gedung La Rinascente, Foot Locker, serta butik jenama terkemuka Louis Vuitton dan Hermès.
Insiden berkenaan memaksa puluhan premis perniagaan berhampiran mengunci pintu premis, manakala ratusan pelancong asing dilihat bergegas meninggalkan kawasan tumpuan fesyen dunia itu.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri fesyen dan peruncitan mewah di Milan, yang merupakan antara pusat fesyen utama dunia.-MalayaDailyToday






















































