SOFIA – Sebuah pesawat Airbus A320 dari Tel Aviv ke Vienna yang membawa 57 penumpang dan anak kapal terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Bulgaria semalam selepas menerima ancaman bom.
Media antarabangsa melaporkan penerbangan Austrian Airlines OS82 berada berhampiran sempadan Romania apabila anak kapal menerima ancaman bom sebelum memutuskan untuk mendarat di ibu negara Bulgaria.
Menurut Kementerian Pengangkutan Bulgaria, pesawat berkenaan menukar haluan ke Lapangan Terbang Vasil Levski, Sofia selepas kru menghantar isyarat kecemasan squawk 7700.
Kementerian Pertahanan Bulgaria memaklumkan tentera udaranya mengerahkan sebuah jet pejuang MiG-29 untuk mengiringi pesawat berkenaan sehingga selamat mendarat pada pukul 9.43 malam waktu tempatan.
Kesemua 51 penumpang dan enam anak kapal berada dalam keadaan selamat dan telah dibawa keluar dari pesawat sejurus mendarat.
Syarikat penerbangan Austrian Airlines dalam kenyataan kepada AFP mengesahkan pemeriksaan keselamatan menyeluruh telah dijalankan ke atas pesawat terbabit.
“Selepas pemeriksaan pesawat selesai, penumpang akan ditempah semula ke penerbangan alternatif secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Pengangkutan Bulgaria menambah satu pasukan tindak balas krisis telah ditubuhkan manakala pihak berkuasa keselamatan memulakan siasatan rasmi berhubung punca ancaman terbabit.
Data penjejakan penerbangan FlightAware menunjukkan pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv pada pukul 6.46 petang waktu tempatan dan mendarat kira-kira tiga jam kemudian di Lapangan terbang Vasil Levski, Sofia pada pukul 9.43 malam.
Data Flightradar24 pula menunjukkan pesawat itu memasuki ruang udara Romania kira-kira pukul 9.10 malam sebelum berpatah balik ke arah selatan menuju Bulgaria.
Insiden terbaharu itu berlaku kira-kira sebulan selepas sebuah pesawat flydubai yang membawa 174 penumpang dalam perjalanan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Tel Aviv berdepan kecemasan apabila seorang pembantu juruterbang didakwa menyerang juruterbang menggunakan kapak dalam cubaan menyebabkan pesawat terhempas.-MalayaDailyToday






















































