KUALA LUMPUR – Tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan transit Kelas Ekonomi di antara Gombak dan Kota Bharu ditetapkan bermula daripada RM125 menjelang pembukaan operasi komersialnya pada pertengahan Disember ini.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menerusi kenyataan memaklumkan kerajaan meluluskan cadangan struktur tambang berasaskan mekanisme penetapan harga dinamik berkenaan pada 16 Oktober lalu.
Bagi laluan Gombak ke Kota Bharu sepanjang 523 kilometer, tambang bagi perkhidmatan Ekspres pula ditetapkan bermula daripada RM147.
Bagi laluan transit dari Gombak ke Kuala Terengganu dan KotaSAS, tambang Kelas Ekonomi masing-masing bermula daripada RM95 dan RM60.
Sementara itu, perkhidmatan Ekspres untuk laluan Gombak ke Kuala Terengganu dan Gombak ke KotaSAS, struktur tambang pula masing-masing bermula daripada RM110 dan RM68.-MalayaDailyToday






















































