KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut manakala dua lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching menghala ke Segambut, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, mangsa yang berada di tempat duduk belakang sebuah Perodua Bezza disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala ketika dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, insiden berlaku apabila sebuah kereta jenis BYD Seal merempuh bahagian belakang Perodua Bezza dipandu bapa mangsa berusia 30 tahun ketika aliran trafik bergerak perlahan.
“Rempuhan itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum kenderaan mangsa berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, bapa mangsa mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di bahagian kepala, dan kedua-duanya kini menerima rawatan di HKL.
“Polis berjaya mengesan pemandu kenderaan BYD Seal yang dilaporkan meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemalangan berlaku.
“Pemandu BYD Seal itu adalah lelaki berusia 24 tahun itu. Dia kini sedang dirawat di salah sebuah hospital swasta di Damansara kerana mengalami kecederaan gegaran pada otak.
“Suspek kini masih dalam pemantauan pegawai penyiasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan,” katanya.
Tiga lagi individu lain iaitu pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun, serta pemilik Perodua Myvi berusia 30 tahun dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999.-MalayaDailyToday























































