KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengemukakan laporan polis susulan insiden serangan fizikal oleh dua individu terhadap seorang pembaca meternya yang sedang bertugas di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Segar, di sini baru-baru ini.
Syarikat utiliti itu dalam satu kenyataan media di Facebook memaklumkan bahawa mangsa mendatangi kawasan berkenaan bagi menjalankan tugas rasmi sebelum diserang hingga mengalami kecederaan dan terpaksa menerima rawatan di hospital.
TNB menegaskan pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada polis untuk siasatan lanjut dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan kekerasan terhadap warga kerjanya.
“TNB memandang serius sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan warga kerja yang sedang menjalankan tugas,” menurut kenyataan itu hari ini.
Syarikat berkenaan turut menggesa orang ramai agar memberikan kerjasama serta menghormati para petugas TNB yang sedang melaksanakan perkhidmatan di lapangan.
Pihak pengurusan menambah bahawa sebarang pertanyaan atau maklum balas berhubung perkhidmatan bekalan elektrik boleh disalurkan menerusi saluran rasmi syarikat tanpa melibatkan tindakan melanggar undang-undang. -MalayaDailyToday
























































