SACRAMENTO – Tiga orang maut manakala dua lagi dikejarkan ke hospital selepas sebuah helikopter media terhempas dan terbakar di kawasan pinggir bandar Los Angeles.
Media antarabangsa melaporkan NBC Los Angeles mengesahkan helikopter terhempas itu milik NewsChopper4.
Jelas stesen berita itu, helikopter berkenaan yang turut beroperasi untuk stesen Telemundo 52, terhempas ketika sedang membuat liputan di lokasi kemalangan bas.
Pengacara stesen NBC4, Colleen Williams ketika siaran langsung mengesahkan dua rakan sekerjanya, Eliana Moreno dan George Marciniw yang berada di dalam helikopter terbabit, disahkan meninggal dunia.
“Kami tahu helikopter itu terputus hubungan dengan rakan sekerja kami di luar sana, dan kami baru sahaja menerima pengesahan berkenaan,” katanya.
Jelasnya, seorang lagi individu yang berada di darat dilaporkan maut semasa nahas itu.
Jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) memaklumkan helikopter itu terhempas di antara dua bangunan komersial lalu terbakar di kawasan kejiranan Chatsworth, petang tadi.
Jelas LAFD, akibat kebakaran itu, api merebak dengan pantas ke empat kenderaan dan dua buah kontena simpanan.
Katanya, lebih 70 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.
Terdahulu, Kapten LAFD, Branden Silverman memaklumkan seorang mangsa dipercayai berada di darat semasa helikopter terhempas.
“Individu itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Dilaporkan, beberapa helikopter lain turut sedang membuat liputan di lokasi kemalangan bas yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang. -MalayaDailyToday




























































