KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengadakan satu mesyuarat khas esok bagi meneliti langkah mitigasi segera susulan keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan mesyuarat khas itu akan membabitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan.
“Saya mendengar keluhan disuarakan rakyat berhubung perkara ini, malah isu ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” katanya dalam kenyataan.
Anwar turut menegaskan usaha penyasaran subsidi akan terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat.
Bagaimanapun, Anwar berkata, keadaan jerebu dan cuaca panas sejak kebelakangan ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).
Tambah Anwar, kerajaan akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. -MalayaDailyToday



























































