KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan MyKad versi baharu dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 sebelum ini, bermula esok.
JPN menerusi hantaran di muat naik di Facebook memaklumkan MyKad generasi baharu itu merupakan evolusi identiti nasional yang melangkah seiiring dengan perubahan zaman.
“Lebih moden, lebih selamat dan dibangunkan untuk masa hadapan.
“Selepas lebih dua dekad, kini tiba masanya untuk satu generasi baharu mengambil tempat membawa pembaharuan pada reka bentuk, struktur dan ciri keselamatan MyKad,” jelas JPN.
Menurut JPN, bermula esok, urusan pengeluaran MyKad generasi baharu boleh dibuat di cawangan JPN seluruh negara.
Katanya, sebanyak 40 cawangan JPN yang dilengkapi pusat cetakan bersedia untuk mengeluarkan MyKad generasi baharu dengan tempoh siap pada hari yang sama.
Bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, permohonan MyKad generasi baharu masih boleh dibuat dengan tempoh siap lima hari bekerja.
Antara ciri yang diperkenalkan termasuk penggunaan kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, teknologi hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap enkripsi yang lebih tinggi.
“Setiap satunya menjadi sebahagian daripada pembaharuan yang menjadikan MyKad generasi baharu lebih moden dan diperkukuh dengan ciri keselamatan terkini,” jelas JPN.
Tambah JPN, MyKad sedia ada masih sah dan boleh digunakan seperti biasa.
“Tiada keperluan untuk menukar MyKad dalam kadar segera semata-mata untuk mendapatkan versi baharu.
“Utamakan urusan yang benar-benar memerlukan penggantian MyKad agar perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan orang ramai agar tidak berpusu-pusu menggantikan MyKad secara serentak bagi mengelakkan kesesakan di pejabat JPN. -MalayaDailyToday




























































