KUALA LUMPUR – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Brad Tapp layak mewakili skuad kebangsaan Malaysia.
Perkembangan itu diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.
Menurut FAM, pihaknya menerima pengesahan tersebut selepas FIFA selesai meneliti status kelayakan kedua-dua pemain berkenaan berdasarkan peraturan dan peruntukan ditetapkan.
Dalam pada itu, FAM memaklumkan status dua lagi pemain JDT, Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih dalam proses semakan dan pengesahan FIFA.
“FAM masih sedang menunggu keputusan rasmi daripada FIFA.
“Pihak kami akan terus memberikan kerjasama dan mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang diperlukan kepada FIFA berkaitan proses semakan berkenaan,” jelas kenyataan itu.
FAM memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai status Hidalgo dan Lowry akan diumumkan selepas menerima pengesahan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu.
Terdahulu, media melaporkan Bergson, Hidalgo dan Lowry mendapat status pemain naturalisasi manakala Tapp sebagai pemain warisan, dengan keempat-empatnya disenaraikan sebagai pemain tempatan dalam saingan domestik.
Perkara itu bagaimanapun tidak menjawab status empat pemain Harimau Selatan itu sama ada mereka boleh beraksi atau tidak bersama skuad kebangsaan kerana status pemain tempatan dalam Liga Malaysia (Liga M) dan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan tertakluk kepada kerangka peraturan FIFA.
Ia berikutan semakan terhadap platform FIFA mendapati nama keempat-empat pemain berkenaan tidak muncul dalam senarai yang dirujuk sebagai rekod pertukaran persatuan.
Bergson mula beraksi dalam Liga M pada 2021 selepas menyertai JDT dan sehingga kini pemain berusia 35 tahun itu masih kekal bersama Harimau Selatan.
Tapp, 25, pula merupakan pemain pertahanan warisan kelahiran Sydney, Australia yang menyertai JDT daripada Central Coast Mariners, Julai lepas. -MalayaDailyToday


























































