KUALA LUMPUR – PAS menuntut kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung keputusan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkannya sebagai isu berkepentingan awam.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu berkenaan berbangkit susulan kenyataan media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri bertarikh 11 September berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan.
Beliau menjelaskan bahawa penangguhan permohonan tersebut ke suatu mesyuarat lain yang diumumkan BHEUU berkemungkinan berpunca daripada arahan atau bantahan pihak-pihak tertentu.
“PAS berpandangan bahawa penangguhan permohonan berkenaan tidak berlaku secara sendirinya, sebaliknya mungkin mempunyai kaitan dengan arahan atau bantahan daripada mana-mana pihak, sama ada ahli Lembaga Pengampunan mahupun pihak ketiga yang berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin menegaskan bahawa pihak kerajaan perlu berterus terang dan mengemukakan maklumat jelas kepada rakyat jelata memandangkan kes berkenaan melibatkan perhatian awam yang luas. -MalayaDailyToday





























































