KUALA LUMPUR – Cadangan pembentukan Kolaborasi Agung bukan sekadar bermaksud penggabungan parti, sebaliknya merupakan persefahaman bertujuan mengelakkan pertembungan politik yang merugikan khususnya dalam kalangan parti Melayu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gagasan berkenaan menuntut untuk mewujudkan persefahaman politik (Tafahum Siyasi) antara gabungan parti-parti politik sedia ada di negara ini.
“Saya faham dan boleh membaca resahnya orang Melayu.
“Mereka tidak mahu kita bertembung, malah mereka tak nak lagi kita berbalah sesama sendiri,” katanya dalam ucapan dasar Presiden UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Jelas beliau, persefahaman politik itu perlu mengutamakan persamaan demi maslahah umum, selain menghormati perbezaan ideologi dan identiti serta mengamalkan prinsip toleransi dan anjal dalam membuat keputusan.
“Ringkasnya, persefahaman ini bukan hanya kerana kita mempunyai musuh yang sama.
“Persefahaman ini insyaallah akan mewujudkan kestabilan politik negara, merancakkan ekonomi demi kemakmuran, menjamin keadilan kepada semua dan memperkukuhkan perpaduan rakyat,” katanua.
Ahmad Zahid bagaimanapun menjelaskan persefahaman politik itu tidak bermakna mana-mana parti perlu mencairkan identitinya.
“Dalam kata lain, dengan siapa pun kita bekerjasama, UMNO tetap UMNO. Barisan Nasional tetap Barisan Nasional,“ katanya.
Ahmad Zahid juga menekankan kejujuran dan keihlasan sebagai prasyarat yang tidak boleh dikompromi dalam menjayakan persefahaman politik itu.
“Jangan khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu pagi tetapi merancang menjatuhkan rakan di malam hari.
“Jangan perjanjian ditandatangani, dalam masa sama ia dimungkiri.
“Jika kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janji,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, Kolaborasi Agung melalui persefahaman ini perlu mengambil iktibar daripada Perjanjian Hudaibiyah yang akhirnya membawa kepada pembukaan kota Mekah atau Fathu Makkah. -MalayaDailyToday

































































