LOS ANGELES – Sebuah lubang benam besar terbentuk di luar perkarangan sebuah kediaman mewah di Malibu yang dilaporkan milik pelakon Hollywood, Nicolas Cage.
Lubang benam yang dianggarkan sedalam 9.1 meter terbentuk selepas laluan masuk ke kediaman itu runtuh, disusuli hujan lebat melanda selatan California sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut penduduk kawasan perumahan, mereka dimaklumkan pembentukan lubang benam yang pada awalnya sedalam 2.4 meter pada Isnin lalu.
Gambar dari pemandangan udara menunjukkan runtuhan konkrit dan sisa runtuhan lain tergelincir ke dalam lubang benam berkenaan di bahagian tepi jalan hartanah tepi laut bernilai jutaan dolar itu.
Kon keselamatan diletakkan di bahagian belakang kawah runtuhan berkenaan yang kelihatan hampir menelan garaj berkembar rumah berkenaan.
Ombak yang menghempas kawasan pesisir pantai kelihatan melimpah masuk ke dalam lompang itu sebelum mengalir keluar semula di celah-celah tiang sokongan rumah berkenaan.
Ahli meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Richard Thompson berkata, perairan pantai di selatan California terjejas berikutan sisa-sisa Taufan Marie.
Pegawai tempatan percaya fenomena itu mungkin berkaitan dengan hakisan pantai.
Kejadian itu berlaku selepas hujan lebat melanda kawasan Los Angeles, di tengah-tengah laut bergelora susulan pembentukan Taufan Marie.
Pihak berkuasa Malibu mengeluarkan arahan evakuasi melibatkan lebih 30 buah kediaman selepas pembentukan lubang benam itu.
Cage dilaporkan membeli kediaman mewah yang bernilai AS$10.5 juta itu pada tahun 2024. -MalayaDailyToday



































































