BANGKOK – Sebanyak 71 wilayah Thailand dan Bangkok diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan wujud kemungkinan berlaku banjir kilat dan tanah runtuh sehingga 13 September ini.
Amaran cuaca itu dikeluarkan oleh Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Thailand (DDPM).
Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan secara tidak langsung mendorong pihak berkuasa menasihati penduduk di lokasi terdedah untuk kerap memantau keadaan cuaca dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Amaran cuaca itu meliputi semua wilayah di utara, tengah dan timur laut Thailand serta Bangkok.
Selain itu, sembilan wilayah selatan iaitu Chumphon, Surat Thani, Narathiwat, Ranong, Phang Nga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun turut tersenarai.
Kawasan-kawasan yang menerima taburan hujan lebih 90 millimeter dalam tempoh 24 jam dianggap berisiko tinggi dilanda banjir dan tanah runtuh.
Penduduk yang berada di lokasi berisiko dinasihatkan menyediakan bekalan penting, merancang perjalanan dan bersedia untuk berpindah jika diarahkan oleh pihak berkuasa.
Orang ramai yang mengunjungi kawasan tarikan alam semula jadi termasuk air terjun dan gua diminta mengikut arahan rasmi serta mengelak lokasi yang diisytiharkan tidak selamat oleh pihak berkuasa. -MalayaDailyToday


































































