KUALA LUMPUR – Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan disahkan akan bersidang esok pada jam 8.30 pagi, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Hannah mengesahkan perkara itu selepas menghadiri majlis Pelancaran Fasa ke-8 Program Mamogram percuma Etiqa dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Jabatan Pertahanan Awam hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai agenda mesyuarat tersebut mahupun mengesahkan sama ada persidangan berkenaan melibatkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ya, saya boleh sahkan esok jam 8.30 pagi ada mesyuarat pengampunan kita telah dipanggil dan itu sahaja setakat ini komen yang saya boleh berikan kepada anda semua,” katanya.
Sebelum ini, laporan media menyatakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka meneliti permohonan pengampunan Najib berhubung sabitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Najib yang mula menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 23 Ogos 2022 sebelum ini telah mendapat pengurangan hukuman penjara kepada enam tahun serta denda dikurangkan kepada RM50 juta oleh lembaga berkenaan. -MalayaDailyToday


































































