KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan isu rasuah tidak seharusnya diputarbelitkan menjadi persoalan kononnya membabitkan penderhakaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pendirian Pakatan Harapan (PH) terhadap rasuah, salah guna kuasa dan integriti tidak pernah bermaksud mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
“Jangan ubah persoalan tentang rasuah menjadi drama kononnya derhaka kepada Raja. Itu dua perkara yang berbeza. Institusi Raja mesti terus dihormati, manakala rasuah tetap wajib ditentang. Tidak ada kompromi antara kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang didakwa mengaitkan PH dengan persoalan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Saifuddin, PH tidak pernah menafikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Menghormati kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong tidak bermaksud mana-mana parti politik kehilangan hak untuk menyatakan pendirian tegas terhadap rasuah, salah guna kuasa, integriti dan hukuman yang telah diputuskan mahkamah,” tegasnya.
Malah, beliau menyifatkan tindakan Asyraf yang secara langsung memetik PH dalam kenyataannya sebagai sesuatu yang menghairankan kerana PH tidak menyentuh mana-mana parti politik atau kes tertentu dalam pendiriannya.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menggesa UMNO menjelaskan persoalan berkaitan kemelut politik di Negeri Sembilan sebelum menuduh PH meremehkan institusi Raja.
“Kalau UMNO benar-benar mahu tampil sebagai benteng institusi Raja-Raja Melayu, jawab dahulu persoalan di Negeri Sembilan. Jangan hanya lantang bercakap soal Raja apabila ia menguntungkan naratif politik sendiri, tetapi membisu apabila timbul persoalan yang jauh lebih serius di depan mata,” ujarnya.
Beliau berkata, institusi Raja tidak sepatutnya dijadikan perisai setiap kali UMNO berdepan persoalan berkaitan integriti dan keyakinan rakyat.
“Dalam soal institusi Raja, kita menjunjung Perlembagaan. Dalam soal rasuah, kita pertahankan kedaulatan undang-undang. Jangan campur-adukkan kedua-duanya semata-mata untuk meraih persepsi politik murahan,” katanya. -MalayaDailyToday































































