KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menzahirkan ucapan takziah susulan nahas helikopter yang mengorbankan lima rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Ulu Baram, Sarawak, semalam.
Kedutaan AS Kuala Lumpur menerusi kenyataan menyifatkan kesemua mangsa sebagai wira yang memikul amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada komuniti pedalaman yang jauh dari bandar dan kemudahan hospital.
Menurut kenyataan itu, misi berkenaan mencerminkan semangat khidmat bakti, belas ihsan dan tanggungjawab dalam memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
“Kami berduka atas kehilangan yang amat menyayat hati ini dan menghormati jasa mereka yang telah menyumbangkan masa, kepakaran dan akhirnya mengorbankan nyawa dalam perkhidmatan kepada orang lain,” jelas kenyataan itu.
Kedutaan AS turut merakamkan penghormatan kepada semua petugas yang terkorban ketika menjalankan tugas demi memastikan akses perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.
Insiden berlaku kira-kira pukul 3.40 petang semalam, membabitkan sebuah helikopter milik Layang-Layang Aerospace yang dilaporkan terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Long Lellang.
Lima mangsa dikenali pasti sebagai Kapten Zainol, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya. -MalayaDailyToday

































































