LONDON – Pemerintah Britain, Raja Charles III bertitah Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle akan kekal sebagai kerabat diraja yang tidak menjalankan tugas rasmi meskipun pasangan itu sudah berpindah semula ke United Kingdom (UK).
Dalam satu surat rasmi mewakili pihak Raja Charles yang dihantar kepada pegawai kanan Istana Buckingham, Lord Chamberlain menyatakan selepas Putera Harry dan Meghan berundur daripada tugas rasmi keluarga diraja pada Januari 2020, pasangan itu tidak lagi menjadi anggota keluarga diraja yang menggalas tugas rasmi.
“Kedudukan mereka akan terus dihormati sepenuhnya.
“Malah, tiada perubahan terhadap status semasa Duke dan Duchess Sussex,” menurut surat berkenaan.
Surat tersebut turut dikongsikan kepada pasukan Harry, pegawai kanan kerajaan dan ketenteraan.
Surat itu dikeluarkan bertujuan memperjelaskan status Putera Harry dan Meghan selepas mereka kembali dari Amerika Syarikat (AS) bersama dua anaknya, Putera Archie, 7, dan Puteri Lilibet, 5, pada bulan lalu.
Menurut surat itu, semua aktiviti amal yang dilakukan oleh Putera Harry dan Meghan dianggap sebagai `urusan peribadi’ mereka dan dilaksanakan atas kapasiti persendirian.
“Kedudukan mereka seperti orang biasa yang mempunyai kepentingan dalam bidang komersial dan kebajikan,” jelas surat itu lagi.
Putera Harry bersama keluarganya kembali semula ke Britain, enam tahun selepas berundur daripada tugas rasmi keluarga diraja bagi membina kerjaya secara bebas.
Sebelum ini, beberapa agensi berita UK melaporkan Putera Archie dan Puteri Lilibet didaftarkan di sebuah sekolah di Britain untuk memulakan sesi persekolahan awal bulan ini. – CNN/AGENSI

































































