SEREMBAN – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas dalam sebuah baldi berisi air sabun di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan berada di bawah jagaan neneknya ketika ibu bapanya keluar bekerja.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, bayi terbabit sebelum itu diletakkan tidur di dalam buaian sementara nenek mangsa melakukan kerja rumah.
Menurutnya, wanita berkenaan kemudian menyedari mangsa tiada di dalam buaian sebelum mencarinya di sekitar rumah.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terlangkup di dalam sebuah baldi yang mengandungi sedikit air sabun di bahagian belakang rumah dengan kepala berada di bawah.
“Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut dijalankan. -MalayaDailyToday






























































