KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah mengambil pendirian tegas mempertahankan kuasa autonomi imigresen negeri apabila memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Sabah sehingga jaminan jelas diberikan bahawa hak negeri tidak akan terhakis.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet Negeri meneliti pelbagai isu berkaitan pelaksanaan AKPS termasuk kebimbangan terhadap unsur pengurangan kuasa khas Sabah dalam soal imigresen.
Menurut beliau, kerajaan negeri mendapati pelaksanaan AKPS berpotensi mengubah struktur kawalan imigresen sedia ada di pintu masuk Sabah apabila agensi tersebut bakal mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Sabah.
Katanya, di bawah Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860], kuasa kerajaan negeri terhadap AKPS dilihat tidak bersifat langsung sebaliknya hanya melalui Pengarah Imigresen Sabah seperti diperuntukkan di bawah Subseksyen 6(3) akta berkenaan.
“Kerajaan negeri juga mengenal pasti terdapat beberapa ketidakselarasan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan tugas penguatkuasaan imigresen di pintu masuk Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji menegaskan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah perkara yang tidak boleh dikompromi kerana ia merupakan antara asas penting pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan Sabah memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga terdapat jaminan bahawa tiada penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi negeri dalam hal imigresen.
“Ini penting bagi memastikan perlindungan perlembagaan terhadap kedudukan Sabah dalam urusan imigresen terus dipelihara pada setiap masa,” katanya. -MalayaDailyToday

























































