GUA MUSANG – Seorang pemandu lori maut dihempap balak ketika menurunkan kayu dari lori dipandunya di sebuah kilang papan di Gua Musang, Kelantan petang semalam.
Ketika kejadian sekitar jam 2.15 petang semalam mangsa, Nurazlan Haman, 53, yang baru dua bulan bekerja di kilang berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada pengurus syarikat tempat mangsa bekerja kira-kira 4 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa dihempap kayu balak semasa menurunkan kayu balak dari lori di sebuah kilang papan. Mangsa cuba turunkan kayu balak dengan kaedah yang biasa diamalkan iaitu membuka empat rantai dan kunci kecuali di bahagian tengah,” katanya.
Difahamkan apabila membuka kunci rantai, mangsa pergi ke arah kanan lori dan bertindak menarik rantai dan tiba-tiba sebatang kayu balak jatuh menimpa bahagian badannya.
“Rakan yang melihat kejadian membawa lelaki itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Siasatan mendapati tiada unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan,”tegasnya. -MalayaDailyToday
Discussion about this post