KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan syarat pemilikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan.
MITI dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook memaklumkan perkara berkaitan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi (EPU).
“MITI ingin menjelaskan bahawa pihak kementerian tidak mempunyai makluman mengenai perkara tersebut.
“Kami berharap penjelasan ini dapat membantu memperbetul peranan MITI dalam perkara ini supaya maklumat yang disampaikan kepada pihak awam adalah tepat dan jelas,” jelasnya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan memaklumkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kelolaannya.
Kementerian Pendidikan memaklumkan keputusan berkenaan dicapai hasil perbincangan Bersama MITI bagi menyesuaikan polisi dengan keperluan semasa sektor pendidikan negara.
Kata kementerian itu, pihaknya mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung syarat ekuiti Bumiputera berkenaan seperti dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006.-MalayaDailyToday



























































