KOTA BHARU – Seorang jururawat wanita berusia 44 tahun cedera parah selepas dipercayai ditikam sebanyak enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok di sini malam kelmarin.
Media melaporkan mangsa mengalami kecederaan tikaman pada badan dan leher dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 47 tahun selepas lelaki berkenaan menyerah diri.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu pada malam sama.
Katanya, suspek itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 12 Oktober depan.
“Polis masih belum mengenal pasti motif kejadian,” katanya.
Mohd Azmir berkata, polis turut merampas sebilah pisau daripada suspek.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.-MalayaDailyToday




















































