KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tanah air diselubungi duka berikutan pemergian pelawak popular, Mohd Hamizi Hashim atau lebih dikenali sebagai Gbob, yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 40 tahun pagi semalam.
Berita duka berkenaan disahkan oleh rakan seperjuangannya, Amir Raja Lawak menerusi satu hantaran di media sosial selepas mendapat pengesahan rasmi daripada ahli keluarga Allahyarham.
“Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat kami Gbob Raja Lawak telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi semalam. Berita ini disahkan oleh ahli keluarga arwah Gbob sendiri,” katanya sambil mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Turut mendedahkan berita pemergian itu, pelakon veteran Zulkifli Ismail menerusi perkongsian di Facebook menzahirkan ucapan takziah serta mengimbas kembali penglibatan awal Allahyarham dalam industri komedi tanah air.
“Allahyarham berusia 40 tahun dan mula dikenali selepas menyertai program Raja Lawak musim kelima. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham,” kata Zulkifli.
Untuk rekod, Allahyarham Gbob sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan kritikal bagi mengeluarkan darah beku di kepala pada 6 Mac 2020. -MalayaDailyToday






















































