KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah membentuk satu pasukan khas bagi menggerakkan agenda penubuhan Hospital MARA sebagai usaha membangunkan hospital pengajar, pusat kecemerlangan kesihatan serta pemangkin ekonomi Bumiputera.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa institusi berkenaan mempunyai ekosistem kesihatan yang lengkap dan kukuh untuk merealisasikan penubuhan hospital tersebut.
Beliau berkata, ekosistem sedia ada merangkumi 160 cawangan U.n.i Klinik, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental di bawah program ProSPEC, selain keupayaan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) yang melahirkan tenaga profesional dalam bidang kesihatan.
“Hospital MARA boleh menjadi tempat semua komponen ini bertemu, termasuk pendidikan perubatan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kejuruteraan, teknologi, keusahawanan, pembiayaan dan jaringan industri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, hospital berkenaan berpotensi dijadikan makmal hidup (living laboratory) bagi pelajar dan penyelidik MARA untuk memperluas pembangunan teknologi peralatan serta sistem hospital, kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), robotik dan peranti perubatan.
Tambah beliau, program sains biomedikal di UniKL MESTECH serta bidang teknologi di kampus UniKL yang lain turut boleh disepadukan ke dalam ekosistem Hospital MARA, sekali gus melengkapkan keperluan latihan klinikal dan pengalaman hospital pengajar bagi pelajar perubatan.
Beliau menjelaskan penubuhan hospital berkenaan merupakan kesinambungan mandat MARA dalam pembangunan modal insan, keusahawanan dan pemilikan strategik Bumiputera dalam industri kesihatan negara.
Asyraf Wajdi turut berharap agar inisiatif perintis yang telah digerakkan ini dapat direalisasikan sepenuhnya pada masa akan datang demi manfaat sektor kesihatan dan ekonomi negara. -MalayaDailyToday
































































