PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk menangguhkan sementara semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak susulan insiden kemalangan helikopter yang berlaku di Long Lellang, Miri.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penangguhan itu dilaksanakan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi perkhidmatan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa Perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes-kes kecemasan akan terus beroperasi menerusi kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“KKM juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka penggunaan aset ketenteraan supaya pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat dipindahkan ke fasiliti kesihatan bersesuaian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr. Dzulkefly menjelaskan bahawa KKM sedang menilai semula keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak, merangkumi aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, serta keperluan liputan dan keberkesanan model sedia ada.
Langkah penilaian itu bertujuan memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan lebih selamat, berdaya tahan, mampan, dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat pedalaman.
Kementerian turut menilai lokasi dan kaedah akses alternatif yang selamat serta praktikal bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman terus terjamin. -MalayaDailyToday


































































