MANILA – Sekurang-kurangnya lima orang disahkan maut manakala lebih 80 penumpang lagi masih hilang selepas sebuah feri penumpang terbakar di perairan berhampiran pulau Palawan, barat Filipina, semalam.
Pengawal Pantai Filipina (PCG) telah menggerakkan operasi pencarian dan penyelamat secara besar-besaran membabitkan pelbagai kapal penyelamat serta penggunaan alat pemodelan hanyutan bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri teraniaya arus laut.
Berdasarkan manifestas kapal, seramai 43 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini, termasuk dua warga Chile.
Jurucakap PCG, Komodor Noemie Cayabyab berkata, asap tebal yang masih berkepul serta bahaya haba tinggi dan risiko letupan menyukarkan pasukan penyelamat untuk memasuki bahagian dalam feri berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa feri berkenaan membawa 117 penumpang dan 17 anak kapal dalam perjalanan dari Baseco, Manila menuju ke destinasi pelancongan popular Coron sebelum terbakar pada malam Rabu.
“Kapal yang terbakar itu turut hanyut lebih jauh dari lokasi asal akibat ditolak arus laut dan angin kencang sepanjang malam, sekali gus menambah cabaran kepada pasukan penyelamat,” kata Cayabyab.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa tempatan. -MalayaDailyToday



































































