JAKARTA – Seorang maut manakala 102 orang berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal Virgo Transport 8 yang dilaporkan hilang di Laut Jawa awal pagi tadi.
Agensi pencarian dan penyelamatan Indonesia memaklumkan operasi SAR dilancarkan selepas Kapal Virgo Transport 8 terputus hubungan di perairan berkenaan.
Jelas agensi itu, operasi mengesan kira-kira 140 penumpang masih sedang dijalankan.
Kapal Virgo Transport 8 dilaporkan berlepas dari Surabaya, Jawa Timur menuju Banjarmasin, Kalimantan Selatan dengan membawa 243 penumpang dan anak kapal.
Pelayaran pada awalnya berjalan lancar sebelum kapal memasuki perairan Laut Jawa yang dilaporkan dilanda cuaca buruk.
Kapal itu kali terakhir dikesan berada di Laut Jawa, kira-kira 150 kilometer (km) di selatan Banjarmasin, kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan.
Beberapa kapal SAR dan sebuah helikopter telah dikerahkan ke lokasi berkenaan.
Malah, operasi SAR turut dibantu kapal- kapal yang kebetulan berada di sekitar lokasi kejadian.
“Kapal lain yang berada sekitar perairan itu telah dimaklumkan untuk melaporkan sekiranya mengesan penumpang,” jelas agensi itu.
Insiden terbaharu itu berlaku selepas sebuah feri Indonesia terbakar di perairan Pulau Madura pada bulan lalu sehingga mengorbankan lima orang.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau, bergantung kepada feri sebagai kaedah pengangkutan utama. -MalayaDailyToday































































