JAKARTA – Sebuah kapal yang membawa 243 penumpang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan di Laut Jawa pada awal pagi tadi.
Agensi pencarian dan penyelamatan Indonesia menerusi kenyataan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan selepas mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut.
Menurut agensi itu, kapal dikenali sebagai Virgo Transport 8 berlepas malam semalam dan melaporkan sedang berdepan cuaca buruk.
Jelasnya, ketika itu, kapal berkenaan dalam perjalanan dari Suraya, Jawa Timur menuju ke bandar Banjarmasin, Kalimantan Selatan sebelum terputus hubungan.
“Ketika kenyataan ini dikeluarkan, kapal tersebut tidak dapat dihubungi dan lokasi keberadaannya juga tidak diketahui,” jelas agensi itu.
Dalam pada itu, pihak berkuasa memaklumkan pasukan penyelamat dianggotai enam petugas akan mengambil masa kira-kira lima jam untuk tiba di lokasi terakhir kapal itu diketahui.
Dilaporkan, kapal penumpang itu kali terakhir dikesan berada di Laut Jawa, kira-kira 150 kilometer (km) di selatan Banjarmasin, kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan. -MalayaDailyToday































































