KUALA LUMPUR – Juruterbang dan empat penumpang helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak, hari ini, disahkan meninggal dunia.
Beberapa media melaporkan Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan maut dalam kejadian tersebut.
“Malangnya, kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Kementerian Kesihatan.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat memberikan nama mangsa yang terlibat ketika ini,” jelasnya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan mengesahkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan oleh seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat yang sedang dalam tugas rasmi.
Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak perubatan dan JBPM berada di lokasi kejadian dan operasi sedang giat dijalankan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan petang tadi mengesahkan kejadian berkenaan.
Insiden berlaku kira-kira pukul 3.40 petang tadi membabitkan sebuah helikopter milik Layang-Layang Aerospace yang dilaporkan terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Long Lellang.
Lima mangsa dikenali pasti sebagai Kapten Zainol, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya. -MalayaDailyToday


































































