KUALA LUMPUR – Sabtu ini, laungan “Daulat Tuanku” bakal bergema lagi apabila Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, di Istana Negara di sini.
Hari yang bertarikh 20 Julai 2024 ini akan terlakar dalam lipatan sejarah Malaysia sebagai ‘hari penegasan’ bahawa sistem Raja Berperlembagaan kekal mendukung pentadbiran negara ini yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
Kali pertama berlangsung pada 2 September 1957, istiadat pertabalan yang secara tradisinya diadakan setiap lima tahun, adalah peristiwa kenegaraan tertinggi buat Malaysia bagi menyempurnakan tuntutan Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan.
Antara lain, Perkara 32(1) itu memperuntukkan perlu ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang kedudukannya mengatasi semua orang lain dalam Persekutuan.
Ringkasnya, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara dengan kedudukan tertinggi bagi Malaysia, dan, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda mempunyai peranan yang sangat besar dalam kesemua tiga cabang utama negara – Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman – iaitu sebagai penyemak dan pengimbang.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dijadualkan berlangsung esok (18 Julai) di Masjid Negara.
Majlis ini juga ada simboliknya, iaitu kita menyerahkan kepada Allah Yang Maha Esa agar segala persiapan dan perjalanan istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda berlangsung dengan sempurna.
Ada Khutbah Khas dan Solat Jumaat di Masjid Negara. Teks khutbah ini adalah tentang kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai panduan kepada rakyat jelata akan pentingnya institusi Agong, institusi Raja Berperlembagaan untuk terus kekal di negara ini.
Teks khutbah itu akan dibaca di semua masjid di Wilayah Persekutuan serta negeri-negeri tidak beraja, manakala di negeri beraja pula tertakluk kepada perkenan sultan masing-masing. -MalayaDailyToday
Discussion about this post