KUALA LUMPUR – Batik Air menyambut baik keputusan kerajaan untuk menjadikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai pengawal selia tunggal autonomi sektor penerbangan bermula 1 Ogos 2025.
Dalam kenyataan media hari ini, Batik Air menyifatkan penyatuan fungsi pengawalseliaan ini sebagai satu inisiatif progresif yang dijangka dapat melancarkan proses pematuhan peraturan, selain meningkatkan keberkesanan operasi serta penyelarasan antara agensi berkaitan.
“Penyusunan semula ini dilihat mampu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif kepada pemain industri, terutama dalam memastikan operasi yang lebih cekap dan selari dengan kehendak global,” jelas kenyataan itu.
Pada masa sama, Batik Air turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) atas sumbangan dan kerjasama strategik yang telah terjalin sejak sekian lama.
“MAVCOM telah memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem penerbangan yang lebih mantap, berorientasikan pengguna dan progresif di Malaysia. Kami amat menghargai segala usaha mereka sepanjang tempoh penubuhannya.”
Langkah meletakkan CAAM sebagai satu-satunya entiti pengawal selia turut dilihat seiring dengan aspirasi negara untuk muncul sebagai hab penerbangan serantau yang mampan dan berdaya saing.
Batik Air menyatakan komitmen mereka untuk terus bekerjasama erat dengan CAAM dalam fasa baharu ini, seiring dengan cita-cita negara memacu industri penerbangan ke tahap yang lebih tinggi. -MalayaDailyToday