SHAH ALAM – Tindakan seorang penumpang tren KTMB pada Sabtu semalam telah menjadi punca kelewatan tren apabila penumpang tersebut bertindak menarik brek kecemasan dengan sengaja ketika gerabak tren sedang bergerak.
KTMB berkata, pihaknya meminta penumpang agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perkhidmatan semasa tren beroperasi.
Menurutnya, pengguna yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 122, Akta 715, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
“Kejadian ini KTMB kongsikan sebagai langkah kesedaran agar insiden sebegini tidak berulang.
“Sesiapa yang menggunakan alat isyarat kecemasan disediakan pengendali berlesen dalam mana-mana koc atau tren untuk memberhentikan kereta api adalah satu kesalahan.
“Mereka boleh disabitkan dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Berdasarkan hantaran di platform berkenaan, KTMB juga memuat naik video berdurasi tujuh saat memaparkan penumpang lelaki bersama rakannya menarik brek kecemasan dengan sengaja kira-kira jam 11.25 malam. -MalayaDailyToday
Discussion about this post