HULU SELANGOR – Pastinya ‘janji’ bagi isu pemilikan penempatan 245 keluarga peneroka estet getah melibatkan lima ladang di Bestari Jaya, Hulu Selangor menggembirakan penduduk disitu namun sejauh mana ianya akan dilaksanakan tanpa berdolak dalih?
Itu antara persoalan yang ditimbulkan oleh bekas Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Santhara Kumar hari ini.
Kata Santhara yang juga mantan pemimpin PKR dan Ahli Parlimen Segamat sebelum ini, sememangnya setiap kali menjelangnya pilihan raya, kali ini Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu, ada pelbagai janji akan diberikan kepada pengundi.
Jelas beliau, terbaru berita penempatan untuk 245 keluarga pekerja estet yang menunggu puluhan tahun akhirnya terjawab apabila kerajaan akan peruntukkan lebih RM75 juta daripada kerajaan pusat dan RM35juta dibiayai kerajaan negeri bagi membina rumah buat setiap keluarga itu dalam tempoh dua tahun.
“Saya minta sangat-sangat cadangan ini diteliti oleh kerajaan hari ini. Tubuhkan satu jawatankuasa ‘Pemantau Janji-Janji’ manifesto KKB yang mana ada pimpinan kerajaan dan juga dalam kalangan pembangkang. Biar ada ‘check and balance’ untuk pastikan janji ditunaikan.
“Letaklah wakil rakyat India di Selangor, letak yang duduk di kerajaan negeri dan pusat. Letak juga pimpinan pembangkang dan NGO yang lantang mengutarakan isu selain berjuang tentang komuniti India di negara ini. Yang bercakap ketika pilihan raya, letak mereka semua.
“Bukankah ini lebih baik daripada terus berjanji kemudian ianya menjadi hanya sekadar retorik atau gula-gula? Rakyat sedang memerhatikan kita. Jangan jadikan pilihan raya sebagai medan untuk berjanji kepada rakyat namun ianya tidak dilaksanakan kerana pelbagai alasan,” katanya ketika kempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) sekitar Batang Kali dan Kerling.
Kata Santhara, dengan menubuhkan jawatankuasa ini sudah tentunya rakyat akan dapat menilai keikhlasan sebenar wakil rakyat yang bersuara untuk rakyat.
Dalam pada itu, Santhara mengingatkan pengundi khasnya masyarakat India di KKB supaya keluar mengundi parti pilihan mereka daripada cubaan memboikot PRK kali ini.
“Hanya dengan keluar mengundi, anda akan tentukan siapakah wakil rakyat yang anda mahu. Jika boikot yang rugi bukan pimpinan politik sebaliknya rakyat itu sendiri. Itulah kebenaran,” ujarnya.
PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas) esok. -MalayaDailyToday
Discussion about this post