PUTRAJAYA – Tourism Malaysia menjangkakan kedatangan lebih ramai pelancong dari Indonesia tahun ini, sempena kempen melawat negeri 2024 di Melaka, Kelantan, Perak dan Perlis.
Lapor Bernama, Tourism Malaysia dalam kenyataan berkata, 3.1 juta pelancong Indonesia berkunjung ke Malaysia tahun lepas sekali gus meraikan pertukaran budaya dan persahabatan antara kedua-dua negara.
Kempen ini merupakan persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan untuk menarik 35.6 juta pelancong asing, dengan sasaran hasil sebanyak RM147.1 bilion,” menurut Tourism Malaysia dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut agensi itu, Indonesia kekal sebagai pasaran penting bagi Malaysia, dan dengan penerbangan harian dari Jakarta yang disediakan oleh syarikat penerbangan Garuda Indonesia, terdapat keyakinan untuk memulihkan prestasi prapandemik dan meningkatkan hubungan dua hala.
Sementara itu, Tourism Malaysia turut menganjurkan lawatan pengenalan untuk rakan dagang perjalanan dan media dari Indonesia untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi digemari pelancong di rantau ini dengan kerjasama Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) dan Garuda Indonesia.
Kumpulan yang terdiri daripada tujuh ejen pelancongan dan satu wakil media dari Jakarta memulakan perjalanan empat hari, tiga malam ke Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 4 hingga 7 Februari lepas.
Jadual perjalanan itu merangkumi lawatan pemeriksaan Mesyuarat, Inisiatif, Persidangan dan Pameran (MICE) di lokasi terkenal seperti Pusat Dagangan Dunia, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Le Meridien Hotel Putrajaya, Hotel InterContinental, Four Points Hotel, Renaissance Hotel dan lawatan bandar. -MalayaDailyToday
Discussion about this post