September 6, 2024
#POLITIK

Tidak akan terima maaf Annuar Musa – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – ‘Perang tragedi 13 Mei’ antara pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa terus berlarutan dengan tindakan saman menyaman.

Hari ini, Kit Siang yang juga bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata beliau tidak akan sesekali menerima maaf daripada Annuar sebaliknya akan menuntut pampasan selepas dikaitkan dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Dalam entri terbaru blognya, kata Kit Siang, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk tidak terima sebarang permohonan maaf.

“Saya sudah mengarahkan peguam saya tidak menerima permohonan maaf Annuar dan menegaskan tuntutan pampasan kerana memfitnah saya,” katanya.

Sebelum ini, Kit Siang hanya bertindak memberi amaran akan menyaman Annuar namun bekas Setiausaha Agung UMNO itu tampil menggesanya untuk segera menyaman beliau dalam isu tersebut.

Mengakui sudah bersedia, Annuar yang juga kini ahli Pas turut memaklumkan beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil langkah wajar mengikut jalur undang-undang.

“Saya diberitahu bahawa Lim Kit Siang nak menyaman saya berkaitan ucapan saya di Bachok.

“Jika benar hendak saman, saya bersedia dan mengalu-alukan tindakan tersebut dan LKS (Kit Siang) boleh kemukakan bahagian mana dari ucapan saya yang menyalahi mana-mana undang-undang. Silakan,” katanya dalam Facebook beliau semalam.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh percaya tindakan saman jika diteruskan Kit Siang akan memberi ruang kepada beliau untuk membuka lebih banyak cerita. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *