September 4, 2024
#UTAMA

‘Datuk Seri’ mengaku tidak bersalah minta rasuah bagi projek dalam KDN

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara Jun dan Julai 2021.

Tertuduh, Datuk Seri Sim Choo Thiam sebaliknya memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.

Sim juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Kim Hong) sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Peguam Low Wei Loke yang mewakili tertuduh tidak membantah syarat tambahan dan wang jaminan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan serta memberitahu mahkamah anak guamnya akan membayar wang jaminan itu hari ini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan berserta syarat tambahan selain turut disenaraihitam dari ke luar negara kecuali dengan kebenaran mahkamah sehingga pelupusan kes. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday