KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Media melaporkan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi S. Indra Nehru bahawa keputusan yang dipertikaikan itu melibatkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang secara perundangan tidak boleh diadili di mahkamah.
“Sudah tentu, Peguam Negara membantah permohonan kebenaran ini kerana keputusan dipertikaikan itu berkaitan dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang tidak boleh diadili oleh mahkamah,” katanya ketika prosiding pendengaran permohonan kebenaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ahmad Hanir menjelaskan bahawa pihaknya baru menerima dokumen permohonan Majlis Peguam menerusi e-mel dua hari lalu dan memohon masa daripada mahkamah untuk meneliti permohonan tersebut secara mendalam sebelum memfailkan hujahan bertulis.
“Itulah pendirian yang akan kami ambil. Kita memerlukan lebih masa untuk memfailkan hujahan bertulis dan meneliti permohonan ini supaya bantahan dapat dikemukakan dengan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, Majlis Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan berkaitan perintah tahanan rumah terhadap Najib.
Permohonan yang difailkan menerusi firma guaman Tetuan Amir & Rajpal Ghai itu menamakan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai responden pertama, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, serta Najib sebagai responden kedua hingga keempat.
Sementara itu, peguam mewakili Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah anak guamnya juga mahu memfailkan hujahan bertulis kerana sebarang keputusan mahkamah selepas kebenaran diberikan boleh menjejaskan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Hakim Indra Nehru menetapkan tarikh 17 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan itu dan mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing selewat-lewatnya 14 Disember ini, manakala hujahan balas perlu difailkan sebelum atau pada 28 Disember.-MalayaDailyToday























































