KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan beliau selaku Menteri Pengangkutan, berkuat kuasa serta-merta, hari ini.
Anthony menerusi satu kenyataan media memaklumkan ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah, bermula hari ini.
“Selaras dengan pendirian yang telah saya umumkan pada Jumaat lalu, iaitu peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang saya jelaskan sebelum ini,” jelas kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook beliau.
Anthony turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat diberikan kepada beliau untuk berkhidmat dalam Jemaah Menteri sejak Disember 2022.
“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang saya menerajui Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar dan segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Anthony sebelum ini menegaskan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta merta sebaik sahaja Najib menjejak kaki ke kediamannya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta bermula hari ini sehingga 23 Ogos 2028.
Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan Jumaat lalu dan menggantikannya dengan perintah pelepasan baharu terhadap bekas Perdana Menteri itu.-MalayaDailyToday
























































