DAMASCUS – Pihak berkuasa Syria menahan sepupu kepada bekas Presiden Bashar al-Assad yang digulingkan, Yahya al-Assad bersama 14 bekas pegawai tentera dan keselamatan kanan dalam satu operasi khas yang dijalankan di bandar Homs, lapor Anadolu Ajansi.
Penahanan 15 individu berkenaan diumumkan oleh jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nour al-Din al-Baba menerusi kenyataan disiarkan di stesen televisyen tempatan Al-Ekhbariya Syria.
Antara individu berprofil tinggi yang turut ditahan termasuk bekas Ketua Divisyen Ke-24 dan Direktorat Pertahanan Udara, Mohammad Dib Afouf, serta bekas Ketua Mahkamah Antikeganasan, Ghazi Badr Abdel Saleh.
Operasi terbaharu di Homs itu turut menahan beberapa bekas ketua siasatan perisikan Tentera Udara, bekas anggota keselamatan politik, Pengawal Republik, dan tiga juruterbang tentera.
Kementerian bagaimanapun tidak memperincikan tarikh penahanan atau pertuduhan rasmi yang dikenakan ke atas kesemua individu terbabit.
Siri penahanan ini meluaskan tindakan tindakan undang-undang ke atas bekas pegawai rejim Assad yang digulingkan, susulan penangkapan bekas pegawai perisikan tentera pada September lalu.
Pada Jun lalu, Kementerian Dalam Negeri Syria mengesahkan seramai 3,548 bekas anggota tentera rejim terdahulu, termasuk puluhan pegawai berpangkat jeneral, telah ditahan di seluruh negara.-MalayaDailyToday





















































