KUALA LUMPUR – Rakyat diseru supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan susulan jangkaan bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, musim monsun yang dijangka berterusan hingga Mac 2027 itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan, banjir serta keadaan laut bergelora yang boleh mengancam keselamatan penduduk, khususnya di kawasan berisiko.
“Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November 2026 hingga Januari 2027.
“Ia boleh meningkatkan risiko banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook
Ahmad Zahid berkata, angin kencang sepanjang tempoh berkenaan juga boleh menyebabkan laut bergelora serta kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya sentiasa mengikuti ramalan dan amaran cuaca semasa serta mengelakkan berada di kawasan yang berisiko dinaiki air.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko meredah banjir dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah.
Ahmad Zahid turut meminta membuat persediaan awal dengan memastikan dokumen penting, ubat-ubatan, keperluan asas dan nombor kecemasan tersedia untuk digunakan ketika kecemasan.
“Keselamatan diri dan keluarga mesti menjadi keutamaan.
“Insya-Allah, semoga kita semua dijauhkan daripada sebarang musibah serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT,” katanya.-MalayaDailyToday





















































